Solat merupakan tiang agama. Sesiapa yang mendirikan solat, dia telah mendirikan agama dan sesiapa yang meninggalkan solat, maka dia telah meruntuhkan agama (maksud Hadith)
Dalam hadith lain disebut…Bahawasanya solat lima waktu itu tiang agama. Imam Al-Baihaqi meriwayatkan, nabi pernah bersabda yang maksudnya, “Solat itu tiang agama, sesiapa yang meninggalkannya dia meruntuhkan agama..
Oleh kerana, solat itu wajib, maka mempelajarinya juga wajib. Oleh kerana mempelajarinya wajib, maka orang yang mampu untuk mengusahakan untuk mengajarnya juga wajib berbuat demikian.
DariJabir r.a. katanya Rasulullah s.a.w bersabda “Anak kunci syurga ialah sembahyang”. Dalam satu hadith qudsi disebut “Siapa Solat fardhu dalam waktu yang ditetapkan, maka tugas Akulah memasukkannya ke dalam syurga. Kalau mereka tidak melakukannya, terpulanglah kepadaKu.
Sembahyang ialah anak kunci yang ada lima bilah iaitu lima waktu sembahyang. Sembahyang boleh menguatkan zahir dan batin. Dari segi zahir sihat tubuh badan kerana banyak pergerakan. Dari segi batin, ia meningkatkan kedudukan rohani seorang Islam disisi Allah. Ada orang yang dinaikkan darjah kedudukannya menjadi wali dengan mengerjakan sembahyang sunat dengan banyaknya (selain fardhu) semata-mata kerana Allah, tanpa melalui ilmu tarikat.
Sabda Rasulullah “Wala Yazalu ‘Abdi Yataqarrabu Ilayya Bin Nawafil… sentiasalah ada hamba-hambaku yang mendekatkan dirinya kepadaku melalui sembahyang-sembahyang (sembahyang sunat mutlak- bukan sembahyang mengiringi waktu)
1. Syarat sah solat
Syarat sah solat ada 5 iaitu, menutup aurat, menghadap kiblat, masuk waktu, suci dari najis dan suci dari hadas
2. menunaikan sunat sebelum solat seperti, azan dan iqamat, solat berjemaah, meletakkan sutrah (penghadang solat) dan sebagainya.
3. menyempurnakan rukun solat yang 13
4. memperbanyakkan sunat-sunat di dalam solat seperti bacaan surah, mengangkat tangan ketika takbir al-ihram dan sebagainya.
5. menjaga makruh dalam solat seperti meliarkan mata ketika solat
6. menjaga perkara yang membatalkan solat seperti bergerak tiga kali berturut-turut
7. khusyuk dalam solat.
Tujuh perkara ini, jika dijaga dengan betul, kita akan memperolehi dua kelebihan.
Kelebihan di dunia, solat kita akan menjaga kita dari perkara keji dan mungkar. Kelebihan di akhirat, solat kita akan menjaga kita dari api neraka.
Yang paling penting adalah, solat menjadikan kita semakin rapat dengan Allah. Itu yang Allah sebut di dalam al-Quran:-
"Dirikanlah kamu solat untuk mengingatiKu"
Semoga kita dapat menyempurnakan solat kita. Ia bukan untuk orang lain. Kebaikannya kembali pada diri kita, sama ada di dunia mahupun di akhirat.
No comments:
Post a Comment